Wednesday, December 16, 2009

sambungan-KEPEDULIAN MASYARAKAT



Dalam penulisan ini saya tidak berhajat mencerita lebih lanjut mengenai masyarakat Bajau di Semporna kerana yang terperinci pasti sedang diusahakan penerbitannya. Insya Allah. Tapi di sini saya ingin menyentuh tentang program itu sendiri bukan subjek di dalamnya.

Apa bezanya KEPEDULIAN MASYARAKAT dengan PENDAMPINGAN MASYARAKAT? Bagi saya perbezaannya adalah dari segi terjemahan istilahnya daripada 'outreach programme'. Di Malaysia dinamakan 'pendampingan' tetapi di Indonesia dinamakan 'kepedulian'. Tapi saya lebih suka memilih 'kepedulian masyarakat'. Kerana saya kira itu yang lebih tepat secara operationalnya. Kerana saya fikir masyarakat adalah untuk dipeduli bukan sekadar didampingi atau kita akademia bukan hanya sekadar pendamping mereka. Mungkin agak kasar dan terlebih imaginasi jika saya samakan pendamping sepertinya fungsi dayang di zaman kesultanan. Tetapi sebagai saintis sosial saya memang tidak boleh lari dari 'sociological imagination' (yang diajar oleh Prof. Dato' abd. Rahman Embong untuk menulis proposal, tetapi saya gunakan juga untuk menafsir semua fenomena).

Biarkan dahulu tentang 'sociological imagination' itu. Masih lagi isu 'kepedulian masyarakat'. Semasa misi di Semporna, ketika terumbang-ambing di dalam bot dek hentaman ombak yang tidak seberapa ganas, saya berkira-kira lagi. Alangkah bagusnya jika diperluaskan lagi program kepedulian masyarakat ini (masih lagi outreach, tetapi bukan pendamping!) sebagai antara program ulung IPT sebagai acara berterusan. Bukan sebelum ini tiada program outreach, tetapi maksud saya KEPEDULIAN MASYARAKAT. Golongan akademia dari Mahaguru hingga ke anak murid yang baru menjejak kaki ke menara gading turun ke lapangan bertemu pelbagai komuniti yang berkeperluan. Bukanlah sekadar bersukaneka bersama, masak nasi kawah bersama, bersewang bersama, mengigai-igai atau mengalai-alai bersama. Bukan kumpul data, analisis, tulis, publish dan tambah kpi hasil penerbitan sahaja. Bukan saya mengatakan semua itu tidak boleh atau tidak perlu. Perlu. Tetapi lebih perlu lagi jika masyarakat mendapat impaknya dari jangka pendek dan panjang. Kita sendiri pun maklum, banyak penyelidikan telah dibuat kepada komuniti-komuniti tertentu. Dan ramai pula cerdik pandai yang lahir dari penyelidikan itu, kenaikan pangkat, dan anugerah tertentu. Tetapi yang sedihnya, komuniti itu tetap begitu. Jika miskin tetap dgn miskinnya. Jika mundur pun tetap dgn mundurnya walau kita telah 52 tahun merdeka. Tetapi program outreach dikatakan tetap berjaya kerana 'kita berjaya mendamping masyarakat'.

...akan bersambung.

No comments:

Post a Comment