Gambar 1: Kanak-kanak Seletar
Siri kepedulian masyarakat kali ini dilaksanakan bersama Orang Seletar di Johor Bahru dalam bulan Januari 2010. Ketika menyampaikan hasrat untuk ke Danga Bay bertemu Orang Asli di sana, lantas ayat popular yang diajukan oleh rakan-rakan "Ada Orang Asli di bandaraya Johor Bahru?". Bukan satu kejutan bagi saya apabila orang bertanya begitu. Bahkan ada juga yang menganggap Orang Asli hanya tinggal jauh di hutan iaitu kawasan pedalaman dan punya budaya kehidupan yang sangat jauh ketinggalan dari arus perdana.
Bagi saya, pandangan-pandangan ini adalah refleks daripada kurangnya pengetahuan tentang saudara kita Orang Asli. Mungkin kerana banyak bahan bacaan mengenai komuniti ini daripada penulisan pengkaji Barat lantas maklumatnya juga tidak setepat mana (mungkin situasi yang ditulis adalah situasi 1970-an kerana kajiannya pada tahun demikian. Tetapi dibaca pada tahun 2000-an, dan difahami situasinya masih begitu). Mungkin juga kerana tidak pernah mengambil tahu tentang budaya kehidupan saudara kita Orang Asli di Malaysia.
Jawapan saya: "Ya, ada. Orang Asli juga seperti kita boleh berada di mana-mana saja. Mereka juga berpakaian seperti kita. Ramai yang punya rumah batu, bahkan ada yang punya kereta besar dan perniagaan sendiri. Orang Asli ada berjawatan Profesor, Senator, Businessman berjaya, dsbnya.Cumanya, mereka punya identiti dan kebudayaan yang tersendiri".
Gambar 2: Dr. Nobaya (Timb. Dekan Akademik, FEM) memerhati aktiviti karangkraf daripada hasil laut yang dilakukan oleh wanita Seletar.
Banyak lagi pandangan masyarakat umum mengenai Orang Asli yang perlu diperbetulkan. Lantas, siri kepedulian masyarakat bersama komuniti ini sangat penting merapatkan jurang antara golongan akademia dengan komuniti Orang Asli dan begitu juga agensi pembangunan dengan kedua-dua golongan ini. Justeru, kumpulan penyelidik Jabatan Sains Kemasyarakatan & Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia telah meletakkan kepedulian masyarakat peribumi sebagai salah satu 'niche area'. Pastinya akan menyusul siri-siri kepedulian bersama aktiviti-aktiviti penyelidikan, penerbitan dan aktiviti pengembangan bersama para pelajar.
Gambar 3: Antara kumpulan penyelidik Jab. Sains Kemasyarakatan & Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM bergambar bersama Orang Seletar di Johor Bahru, Johor.
[penyelidik dari kiri: Dr. Ma'rof Redzuan (t-shirt biru), PM. Dr. Asnarulkhadi Abu Samah (bertopi), Dr. Hanina Hamsan, Dr. Nobaya Ahmad, En. Wan Amir Zal (vest hitam)]