Monday, July 4, 2011

Aktiviti penyelidikan Jun-Julai 2011

Alhamdulillah, pada kali ini cuti semester lebih panjang daripada biasa. Walaupun pelajar bercuti, kami para pensyarah tetap melakukan tugas hakiki selain daripada mensyarah iaitu penyelidikan dan penulisan. Sejak dari awal lagi saya telah mempraktis tambahan satu elemen dalam tugas hakiki iaitu siri kepedulian masyarakat. Kali ini siri kepedulian masyarakat diserap dalam pengajaran dan penyelidikan. Terasa akan kelainan semangat menara gading dibawa ke dalam komuniti, dan pastinya komuniti Orang Asli tidak pernah terlepas daripada perhatian.

Dalam bulan Jun-Julai 2011, satu pasukan penyelidik daripada UPM yang diketuai Prof. Dr. Rahim Md. Sail (mantan Pengarah PEKKA, UPM) sedang giat melaksanakan aktiviti pengumpulan data 'Kajian Persepsi Masyarakat terhadap Latihan Kemahiran'. Penyelidikan ini dibiayai sepenuhnya Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Apabila pihak JPK meminta menambah sub sampel masyarakat Orang Asli dalam sampel kajian, saya tahu rakan-rakan lain dalam team research ini rasa sangat gembira kerana ini merupakan petanda positif dalam agenda perancangan pembangunan. Walaupun tiada tambahan budget, kami seronok mengendalikan penyelidikan ini dengan sampel tambahan itu. Justeru, untuk komuniti Orang Asli, saya lah yang paling seronok dan menawarkan khidmat sukarela untuk mengaturkan aktiviti di lapangan dan berhubung dengan agensi serta komuniti tersebut.

Kali ini, saya ubah cara pengumpulan data. Oleh kerana remaja Orang Asli yang bersekolah sukar ditemui di tempat tinggal mereka, pengumpulan data diatur untuk dilaksanakan di sekolah menengah yang mempunyai pelajar Orang Asli. Terima kasih tak terhingga kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Pejabat Pelajaran Negeri (Perak dan Pahang) serta pengetua, guru-guru  dan pelajar yang sudi membantu kami melaksanakan aktiviti pengumpulan data dalam jangka masa yang suntuk proses permohonannya. Sebagai balasan, kumpulan penyelidik berasa teruja memberikan ceramah motivasi dan laluan kerjaya untuk pelajar-pelajar di SMK Sultan Idris Shah, Gerik Perak dan SMK Sultan Ahmad Shah, Cameron Highland Pahang. Mudah-mudahan apa yang kami sampaikan memberi kesan positif kepada pelajar dan sekolah dan hasil kajian memberikan impak yang baik untuk kementerian dan masyarakat.
 Foto 1: PM Dr. Asnarulkhadi sedang memberikan ceramah motivasi dan penerangan laluan kerjaya jika memilih TEVT dalam pendidikan. Kesemua mereka adalah pelajar Orang Asli di SMK Sultan Ahmad Shah, Cameron Highland.

Foto 2: Sesi penggambaran bersama informan kaum wanita Orang Asli di Kg. Sg. Ruil, Cameron Highland
(tiga minggu sebelum kejadian tanah runtuh). Mereka memberi respon positif dan sedia menerima sesi penerangan berkaitan pendidikan anak-anak.